MAJLIS TAGAJOH GAYOH (PEMIMPIN AGUNG)

Tarikh : 25 Julai 2009 (Sabtu)
Tempat : Dewan Serbaguna Libaran, Batu 7 Sandakan
Masa : Jam 7.00 pagi sehingga 2.00 petang

Persembahan Slaid Sempena Majlis Tagajoh Gayoh

SEPATAH BICARA TAGAJOH GAYOH

YAB DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN
KETUA MENTERI SABAH
MERANGKAP PENAUNG
PERSATUAN BANGSA SUNGAI SABAH (SABAS)


Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dan Salam Sejahtera

Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang terlibat dalam menjayakan Majlis Tagajoh Gayoh YAB Ketua Menteri Sabah bersama Masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah.

Majlis ini bukan sahaja dapat menghimpunkan serta mempertemukan masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah, tetapi juga dapat memupuk nilai-nilai perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan etnik, bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri.

Saya berharap semoga usaha ini akan sentiasa disuburkan di setiap hati sanubari warga SABAS demi melahirkan masyarakat yang dinamik dan berdaya maju seterusnya dapat mengeratkan semangat perpaduan rakyat, khususnya dalam kalangan ahli-ahli SABAS. Dengan semangat perpaduan dan kerjasama yang kukuh, saya yakin kita mampu melangkah ke hadapan untuk membawa rakyat dan Negeri Sabah ke arah pembangunan dan kejayaan yang lebih cemerlang.

Sekian, wassalam dan terima kasih.

SEUNTAI KATA TAGAJOH

SEUNTAI KATA TAGAJOH

YB DATUK HAJI ZAKARIA HAJI MOHD EDRIS

DMSM, ASDK, ADK
PRESIDEN PERSATUAN BANGSA SUNGAI SABAH
(SABAS) SESI 2009-2011


Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera


Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah atas kesudian untuk hadir bersama kita dalam Majlis Tagajoh Gayoh YAB Ketua Menteri Sabah bersama Masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah.

Sesungguhnya kehadiran YAB pada hari ini amat besar ertinya kepada seluruh masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah yang telah mencecah lebih 270,000 orang yang majoritinya tinggal di seblah pantai timur Negeri Sabah bermula dari Semenanjung Bengkoka sehingga ke Daerah Lahad Datu Sabah. Pada ketika ini terdapat juga masyarakat Sungai di daerah-daerah lain seperti di Beaufort, Kudat, Kota Kinabalu, Ranau, Nabawan, Pensiangan dan juga Tawau.

Tujuan majlis pada hari ini adalah untuk memashyurkan Gelaran Tagajoh Gayoh Kepada YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah. Sehubungan itu kehadiran masyarakat dalam majlis pada kali ini menggambarkan ilthizam, kerjasama dan sokongan yang tidak berbelahbagi kepada Kerajaan Barisan Nasional Negeri Sabah di bawah jentera pentadbiran YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman selaku Ketua Menteri Sabah yang disanjungi dan dihormati. Kita mengharapkan agar majlis ini mampu memberikan momentum baru kepada masyarakat Bangsa Sungai dalam mewarnai jati diri yang bersandarkan kepada nilai-nilai norma sosial bangsanya yang unik ke arah dinamika kehidupan masyarakat yang lebih cemerlang di masa hadapan selaras dengan falsafah 1Malaysia.

Disebabkan bilangan masyarakat Bangsa Sungai semakin bertambah di merata pelusuk negara maka Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) telah ditubuhkan sejak 30 tahun yang lalu (1979) dengan mempunyai sejumlah 30 sub-etnik di Negeri Sabah bertujuan untuk menyatupadukan masyarakat agar lebih dinamik dan berdaya saing seperti juga bangsa-bangsa lain di Negeri Sabah terutama dalam menonjolkan bidang kebudayaan etnik Bangsa Sungai.

Akhir sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua masyarakat Bangsa Sungai yang terlibat dalam menjayakan majlis ini terutama kepada Jawatankuasa Pelaksana Majlis Tagajoh Gayoh YAB Ketua Menteri Sabah bersama Masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah.

Sekian, wassalam dan terima kasih.

SEUNGKAP MADAH

SEUNGKAP MADAH

YBHG ENCIK JUHARI BIN HAJI JANAN

ASDK, JP
PENGERUSI PELAKSANA MAJLIS TAGAJOH GAYOH 2009

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya maka Majlis Tagajoh Gayoh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah bersama Masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah dapat kita sempurnakan dengan jayanya pada kali ini.

Ingin saya nyatakan disini bahawa majlis seumpama ini adalah cetusan idea YB Datuk Haji Zakaria Haji Mohd. Edris selaku Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) yang telah memberi kepercayaan kepada saya selaku pengerusi pelaksana untuk mengadakan majlis seumpama ini. Disebabkan tetamu yang datang pada majlis ini adalah seorang yang amat kita hargai dan hormati serta berkat ketekunan, kerjasama dan komitment semua ahli jawatankuasa pelaksana, Alhamdulillah amanah tersebut dapat kita tunaikan bersama pada hari ini.

Disamping menyambut kedatangan Tagajoh Gayoh YAB Ketua Menteri Sabah untuk hadir dalam majlis pada hari ini, tujuan lain kita mengadakan majlis seumpama ini adalah untuk memperkenalkan beberapa tradisi kebudayaan Bangsa Sungai yang terdapat di daerah-daerah yang lain seperti Daerah Beaufort, Bengkoka, Tongod, Telupid, Beluran dan Lahad Datu. Adalah diharapkan semoga iktibar daripada usaha murni ini akan dapat digarap demi untuk meningkatkan perpaduan masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah selaras dengan objektif Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) serta falsafah negara iaitu 1Malaysia.

Akhir sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penaja, semua masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah serta semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana Majlis Tagajoh Gayoh yang telah memberikan kerjasama yang jitu dan mantap bagi menjayakan majlis pada kali ini.

Sekian, wassalam dan terima kasih.

1. MAJLIS TAGAJOH GAYOH

Selayang Pandang Mengenai Majlis

1.1 LATAR BELAKANG


Majlis Tagajoh Gayoh ini tercetus hasil kunjungan terhadap YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah oleh Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) yang diketuai oleh YB Datuk Haji Zakaria Haji Mohd. Edris bersama beberapa orang ahli Majlis Kerja Tertinggi SABAS bertempat di Pejabat YAB, Dewan Undangan Negeri Sabah pada 22 April 2009 yang lalu. Delegasi ini telah menyatakan hasrat dan cita-cita masyarakat Bangsa Sungai Sabah untuk berjumpa dengan YAB Ketua Menteri Sabah. Hasil daripada kunjungan tersebut, YAB telah menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk bertemu dengan seluruh masyarakat Bangsa Sungai di Negeri Sabah. Majlis ini merupakan sebuah majlis yang julungkali diadakan dan akan mengukir satu catatan sejarah khususnya kepada masyarakat Bangsa Sungai yang terdiri daripada 30 sub-etnik dan berjumlah kira-kira 270,000 orang di Negeri Sabah. Justeru, Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) beriltizam akan menyatupadukan kepelbagaian sub-etnik tersebut serta akan menjadi pemangkin kepada jati diri setiap individu agar lebih berdaya saing dalam era dunia globalisasi dan akhirnya dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa dan berketrampilan selaras dengan gagasan 1Malaysia.


1.2 TUJUAN

Perhimpunan ini bertujuan untuk memashyurkan Gelaran Tagajoh Gayoh (Pemimpin Agung) yang dianugerahkan kepada seorang pemimpin yang dipilih berdasarkan jasa dan sumbangan kepada bangsa, agama dan Negara. Pada masa yang sama majlis ini bertujuan untuk memashyurkan Gelaran Tagajoh (Pemimpin) yang dianugerahkan kepada beberapa orang pemimpin terpilih berdasarkan kepada kepimpinan, perjuangan dan khidmat bakti khususnya kepada masyarakat Orang Sungai. Gelaran ini dimashyurkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang diwakili oleh semua ketua suku kaum Orang Sungai yang terdiri daripada 30 sub-etnik dari seluruh Negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS).


1.3 MATLAMAT

Meningkatkan imej serta martabat masyarakat Orang Sungai setanding dengan etnik-etnik lain di Negeri Sabah disamping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan melalui aspek kebudayaan yang lebih harmoni.


1.4 OBJEKTIF

* Memberi pendedahan kepada masyarakat umum tentang ketinggian sistem nilai suku kaum Orang Sungai
* Menampil kepelbagaian budaya setiap sub-etnik kaum Orang Sungai
* Menanam semangat jati diri di kalangan masyarakat Orang Sungai
* Menggerak anjakan pradigma yang lebih unggul


1.5 TEMA SAMBUTAN

BERSAMA MENUJU 1MALAYSIA

2. LATAR BELAKANG GELARAN TAGAJOH GAYOH DAN TAGAJOH

Satu gelaran yang tertinggi dalam masyarakat Orang Sungai adalah Gelaran Tagajoh Gayoh (Pemimpin Agung) yang dianugerahkan kepada seseorang pemimpin yang dipilih berdasarkan jasa dan sumbangan kepada bangsa, agama dan Negara. Sementara Gelaran Tagajoh (Pemimpin) adalah satu lagi gelaran kedua tertinggi yang dianugerahkan kepada beberapa orang pemimpin terpilih berdasarkan kepada kepimpinan, perjuangan dan khidmat bakti khususnya kepada masyarakat Orang Sungai.

Kedua-dua gelaran ini dimashyurkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang diwakili oleh semua ketua suku kaum Orang Sungai yang terdiri daripada 30 sub-etnik dari seluruh Negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS).

3. TOKOH PEMIMPIN ORANG SUNGAI SEBELUM MERDEKA (1782-1963)

Ketika ini terdapat dua orang tokoh pemimpin orang sungai yang dapat dikenalpasti yang telah banyak berjuang menentang pentadbiran penjajah sebelum Negeri Sabah merdeka menerusi Malaysia pada 1963. Mereka yang dimaksudkan adalah Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey dari Daerah Kinabatangan dan Almarhum Datuk Maharajalela Adui Unggu atau lebih dikenali dengan nama Pak Musa dari Daerah Beaufort.


3.1 PENGIRAN DIGADONG SAMAH AL-HAJ BIN PENGIRAN EBEY (1820-1884)
Oleh : Encik Hamra @ Amrah Bin Haji Liwangsa (hamra001@yahoo.com)

12 Februari 1884 (Selasa) bersamaan 15 Rabiulawal 1305H adalah suatu tarikh keramat bagi keturunan Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey kerana pada tarikh tersebut telah terukir satu catatan sejarah yang terulung di Negeri Sabah dalam memperjuangkan hak asasi warisan anak negeri disamping menjunjung kedaulatan tanahair, maruah bangsa serta menegakkan martabat agama semasa zaman penjajahan kolonial British. Menurut laporan akbar The North Borneo Herald bertarikh 01 Mac 1884 bahawa pada tarikh tersebut bertempat di Kampung Melapi Kinabatangan, almarhum telah gugur (Francis, 1986) dalam pertempuran sengit dengan segorombolan askar yang diketuai oleh Sir William Hood Treacher gabenor pertama British di Negeri Sabah, Mr. William Pryer residen pertama Sandakan dengan ditemani oleh Mr. De Fontaine ketua inspektor, Mr. W.R. Flint dan 30 orang pengikut yang berpangkat konstabel (Diari De Fontaine, 1884). Peristiwa ini berlaku disebabkan kepentingan ekonomi, politik dan perbalahan ke atas sistem penuaian hasil sarang burung di Gua Gomantong yang dikuatkuasakan oleh pihak penjajah British yang tidak dipersetujui oleh almarhum dan para pengikutnya.

Walaupun pada tarikh tersebut almarhum gugur secara tragik dalam perjuangannya namun semangat keberanian dan keperwiraan almarhum tetap segar dalam kenangan sehingga ke akhir zaman. Jesteru, pada hari ini makam almarhum yang terletak di Kampung Melapi Kinabatangan masih lagi tersergam kukuh dan menjadi salah sebuah tempat yang paling bersejarah di Daerah Kinabatangan.

Almarhum adalah seorang pemimpin yang sangat berpengaruh dan ketua masyarakat bangsa Sungai Buludupi yang merupakan salah satu kumpulan etnik yang terawal mendiami kawasan Sungai Kinabatangan dan Sungai Segaliud (Ian, 1983). Pada 03 September 1999, Jabatan Muzium Negeri Sabah telah menobatkan Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey (1820-1884) sebagai salah seorang pahlawan Sabah yang terbilang di Pantai Timur Negeri Sabah khususnya di Gua Gomantong Kinabatangan. Mengikut Danny (2000) penentangan almarhum terhadap zaman penjajahan Koloni British telah mendahului penentangan Panglima Kendurung di Kawang (1885), Pengiran Shahbandar Hassan di Padas Damit (1888-1889) seterusnya Paduka Mat Salleh di Labuk-Sugut (1894-900).

Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey adalah pewaris Gua Gomantong yang diwarisi daripada datuknya Pengiran Sandukung. Dengan menguasai pentadbiran penuaian hasil sarang burung di Gua Gomantong keluarga almarhum merupakan sebuah keluarga yang berada serta sangat berpengaruh di kawasan tersebut. Sejarah pewarisan Gua Gomantong tercatat dalam kebanyakkan buku sejarah tentang Negeri Sabah terutama semasa penjajahan The British North Borneo Chartered Company (BNBCC). Pengiran Sandukung telah mendapat kuasa mutlak keatas pentadbiran Gua Gomantong daripada Sultan Sulu sejak 1782 (Danny, 2000).

Beberapa tahun selepas pertempuran di Kampung Melapi, keluarga almarhum secara berperingkat-peringkat berhijrah ke tempat lain dan membuat petempatan baru di Kampung Bilit kemudian di Kampung Sukau, Kampung Suan Lamba, Kampung Sentosa Jaya dan pada ketika ini sudah menetap di beberapa tempat lain di seluruh Malaysia. Menyedari hakikat ini, satu usaha telah digembleng oleh anak cucu almarhum untuk mengumpul segala manuskrip termasuklah artifak budaya untuk direkodkan sebagai satu fakta sejarah Negeri Sabah yang terawal sekali. Usaha ini telah dimulakan dengan pengumpulan salasilah keturunan Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey.

Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj merupakan anak tunggal dalam keluarganya dilahirkan pada 1820-an di kampung Melapi, Daerah Kinabatangan. Ayahanda almarhum bernama Pengiran Ebey dan bondanya bernama Sitti. Manakala moyangnya bernama Pengiran Sandukong Bin Pengiran Basag Bin Pengiran Ambin. Menurut buku bertajuk The White Man Returns yang ditulis oleh Puan Agnes Newton Keith (1951) antara seloka yang terkenal yang selalu dinyanyikan oleh almarhum adalah berbunyi :

I am a Buludupi man
I have always ruled the Kinabatangan
No one – Suluk savage, Bajau pirate, nor white man
Shall take the river from me


Dari petikan seloka tersebut membuktikan bahawa Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj merupakan seorang pejuang bangsa yang sanggup berkorban demi mempertahankan hak kedaulatan anak negeri.

Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj telah mendirikan rumahtangga sebanyak tiga kali dan dikurniakan seramai empat orang cahayamata perempuan. Isteri pertamanya bernama Puan Tadok telah dikurniakan seorang cahayamata bernama Pengiran Pandan. Isteri kedua beliau bernama Puan Andiri telah dikurniakan seorang cahayamata bernama Pengiran Dagangan. Melalui perkongsian hidup dengan isteri ketiga bernama Puan Rayub telah dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Pengiran Fatimah dan Pengiran Sinyurah


3.2 ALMARHUM DATO' MAHARAJAHLELA PAK MUSA @ ANDUI UNGGU

Oleh : Encik Asno Amat Muda

Almarhum Dato Maharajahlela Pak Musa @ Andui Unggu menurut sejarah adalah berasal dari Paitan. Setelah beberapa tahun menentang British di Paitan, akhirnya beliau menyerah dan diarah berpindah ke lain tempat oleh British. Berikutan daripada arahan tersebut, Pak Musa telah mengambil keputuasan untuk berpindah ke kawasan pedalaman bawah melalui Jeselton (Kota Kinabalu). Perjalanan Pak Musa dari Paitan ke Jeselton adalah menggunakan kapal air milik British. Dalam usaha beliau mencari tempat untuk tinggal di kawasan pedalaman bawah, beliau telah sempat tinggal di beberapa buah tempat seperti Papar tetapi beliau tidak berminat untuk tinggal di sana dan akhirnya memilih Membakut iaitu Kuala Sungai Angitan yang kini dikenali sebagai Kg. Bambangan, mengambil nama sebatang pokok bambangan yang tumbuh dikawasan itu.

Rombongan Pak Musa sampai ke Bambangan seramai 5 orang iaitu Pak Musa, Sulaiman, Mualas, Musit Selair dan Absar. Setelah 7 tahun berkampung di Bambangan, beliau kembali semula ke Paitan untuk membawa sanak saudara serta suku-sakat beliau ke Bambangan. Di antara yang menyertai Pak Musa ialah Nailih Mandut, Tikon Mandut, Kuloi, Tutung, Apou (Amat Muda Manding), Majir Panjang, Amboi, Diah, Ower, Atong, Arat Maning dan Salleh Tabatu. Mereka ini akhirnya beranak-pinak dan beranak cucu di Bambangan hinggalah pada hari ini.

Masyarakat tempatan di Membakut / Beaufort terutama kadazandusun, Brunei dan Bisaya menerima baik kehadiran Pak Musa dan mengangkatnya sebagai pemimpin mereka terutama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan juga dalam bidang perniagaan. Pak Musa juga telah mendapat gelaran Dato' Maharajalela Siti Fatimah iatu kerabat Sultan Bruneri Darussalam yang pada ketika itu merupakan pemerintah wilayah Karambunai di Pantai Barat Sabah. Penganugerahan tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap perjuangan beliau dalam membela penduduk Borneo Utara (kini Sabah)

Pada zaman tersebut beliau dipercayai mempunyai kelebihan yang luar biasa iaitu dianggap sangat kuat menentang British dan Jepun. Ada cerita mengatakan bahawa beliau dapat melompat sungai yang selebar 200 kaki iaitu Sungai Kanibungan, Sandakan. Selain daripada itu, satu kisah lagi berlaku di Pekan Membakut, beliau dikatakan telah menarik keretapi yang sedang bergerak di landasan sehingga berhenti. Dikatakan juga, Beliau mempunyai seorang anak yang berlidah hitam tetapi anak tersebut telah meninggal dunia. Beliau dipercayai ghaib dan tidak diketahui di mana beliau berada sehingga sekarang. Pak Musa juga sering bertapa di sebuah liubang batu yang dikenali sebagai ‘wasai’ yang kinai wujud di kawasan air terjun Pak Musa terletak di pinggir Kg Bambangan kira-kira 13 kilometer dari Pekan Membakiut.

Nama Pak Muda diabadikan menerusi Dewan Pak Musa yang terletak di Pekan Beaufort. Pak Musa bukan sahaja seorang yang sanggup menggadai nyawa demi menuntut kemerdekaan, tetapi juga berjuang untuk memajukan ekonomi etnik pribumi yang hidup dalam kemiskinan. Sehingga kini beliau diingati sebagai seorang yang mempunyai ketokohan dan kepimpinan dalam memperjuangkan kebebasan dan kemajuian masyarakat pribumui Sabah.

4. TOKOH PEMIMPIN ORANG SUNGAI SELEPAS MERDEKA (1963-KINI)

4.1 Senarai Nama Tokoh Pemimpin Semasa (2009-kini)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
1. N03-Pitas : YB Datuk Bolkiah Haji Ismail (UMNO)
2. N39-Sugut : YB Datuk Surady Kayong (UMNO)
3. N41-Gum Gum : YB Datuk Zakaria Haji Mohd Edris (UMNO)
4. N42-Sungai Sibuga : YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman (UMNO)
5. N47-Kuamut : YB Masiung Banah (UPKO)
6. N48-Sukau : YB Saddi Haji Abdul Rahman (UMNO)
7. N49-Tungku : YB Datuk Mohd Suhaili Haji Said (UMNO)
8. N50-Lahad Datu : YB Datuk (Datu) Nasrun Bin Datu Mansor (UMNO)

Ahli Dewan Rakyat (ADR) / Parlimen
1. P167-Kudat : YB Datuk Abdul Rahim Bakri (UMNO)
2. P176-Kimanis : YB Datuk Anifah Haji Aman (UMNO)
3. P187-Kinabatangan : YB Datuk Bung Moktar Radin (UMNO)

4.2 Senarai Nama Tokoh Pemimpin Yang Terdahulu (1963-2008)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
1. Sungai Sibuga : YAB DSP Musa Haji Aman - 2004-kini (UMNO)
2. Gum-Gum : YB Dtk Hj Zakariah Mohd Edris - 2004-kini (UMNO)
3. Kuala Kinabatangan : YB DSP Hj Pg. Mohd Galpam Pg Indar -1976-1981 (USNO)
4. Sukau : YB Kolnah Bte Hj Sahih - 1981-1985 (BERJAYA)
5. Sukau : YB Hj Saman Hj Gulam - 1985-1986 (USNO/PBS)
6. Sukau : YB Dtk Dr Zaki Hj Gusmiah - 1986-1990 (USNO/PBS)
7. Sukau : YB Dtk Hj Aklee Hj Abbas - 1990-2008 (USNO/UMNO)
8. Sukau : YB Saddi Hj Abd Rahman - 2008-kini (UMNO)
9. Lamag : YB DSP Hj Pg Galpam Pg Indar - 1967-1971 (USNO)
10. Lamag : YB Pga Mohd Ismail Pga Siat - 1971-1976 (USNO)
11. Lamag : YB Dtk Hj Abd Malek Chua - 1976-1986 (BERJAYA)
12. Kuamut : YB Dtk Hj Abd Malek Chua - 1999-2003 (PBS/UMNO)
13. Kuamut : YB Johnny @ Juni Intang - 2004-2008 (UPKO)
14. Kuamut : YB Masiung Banah -2008-kini (UPKO)
15. Sekong : YB Hj Pg Ahmad Pg Indar - 1976-1981 (USNO)
16. Sekong : YB Hj Salleh Hj Janan - 1986-1990 (USNO)
17. Sugut : YB Dtk Surady Kayung -1994-kini (UMNO)
18. Tungku : YB Dtk Hj Mohd Suhaili Hj Said - 2004-kini (UMNO)
19. Bengkoka : YB Masrani Parman - 1994-2008 9UMNO)
20. Pitas : YB Dtk Bolkiah Hj Ismail - 2008-kini (UMNO)
21. Bingkor : YB Ayub Hj Aman (BERJAYA)
22. Sugut : YB DSP Hj Hassan Alban Hj Sandokong -1990-2004 (BERJAYA)
23. Labuk : YB Kangkawang (USNO)
24. Labuk : YB Batua Bin Abba -1976-1981 (USNO)
25. Lahad Datu : YB Johari Bin Ariff -1976-1981 (USNO)

Ahli Dewan Rakyat (ADR) / Parlimen
1. Kimanis : YB Dtk Anifah Hj Aman - 2000-kini (UMNO)
2. Kudat : YB Dtk Rahim Bakri - 2000-kini (UMNO)
3. Kinabatangan : YB Hj Pg Ahmad Pg Indar - 1969-1978 (USNO)
4. Kinabatangan : YB Abd Ghani Misbah - 1978-1986 (BERJAYA)
5. Kinabatangan : YB Dtk Bung Moktar Radin - 1999-kini (UMNO)
6. Labuk / Sugut : YB DSP Hj Hassan Alban Hj Sandokong (BERJAYA)
7. Labuk / Sugut : YB Ajad OT Oyong -1971-1976 (USNO)

Ahli Dewan Negara (Senator)
1. YB DSP Hj Pg Mohd Galpam Pg Indar - 1963-1971 (USNO)

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah
1. YB DSP Hj Hassan Alban Hj Sandokong (BERJAYA/UMNO)

5. ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN SUKU KAUM ORANG SUNGAI BULUDUPI

Oleh
Encik Hamra @ Amrah Bin Haji Liwangsa
(hamra001@yahoo.com)
Puan Zaiton Binte Haji Liwangsa


Adat istiadat perkahwinan suku kaum Orang Sungai Buludupi bermula dengan majlis merisik calon isteri sehinggalah majlis bertandang ke rumah keluarga pengantin lelaki.

5.1 Merisik (Jarum-jarum) : Keluarga pihak lelaki akan menghantar seorang dua wakil kerumah keluarga perempuan untuk merisik gadis yang dicalonkan sebagai isteri kepada lelaki yang akan meminang. Tujuan merisik adalah untuk mengetahui status terkini gadis yang dimaksudkan samada masih bujang, sudah bertunang atau sudah berkahwin. Jika masih bujang maka wakil tadi akan memberi notis bahawa keluarga pihak lelaki akan bertandang untuk meminang pada suatu tarikh yang telah ditentukan.

5.2 Meminang (Menawo) : Pada kebiasaannya kedua belah pihak lelaki dan perempuan akan melantik wakil masing-masing sebagai jurucakap untuk mengadakan perundingan perkahwinan. Mereka yang diwakilkan adalah tergolong daripada mereka yang berpengalaman dalam adat istiadat perkahwinan, fasih dan cekap berbicara agar perundingan dapat disempurnakan dengan harmoni dalam tempoh yang singkat. Keputusan dalam majlis ini tidak semestinya positif dan keadaan ini memerlukan kebijaksanaan jurucakap agar tidak meninggalkan rasa terguris kepada semua pihak. Majlis meminang akan bermula dengan penyerahan pembuka mulut (pengawang basaro) oleh pihak lelaki sebagai tanda hormat dan ketinggian budi pekerti serta sopan santun yang luhur. Disamping itu ianya sebagai tanda betapa besarnya hajat yang hendak disampaikan. Selain daripada pengawang basaro penyerahan belanja duduk (belanja’ badung) akan diserahkan kepada tuan rumah sebagai sebahagian bayaran perbelanjaan jamuan semasa majlis meminang berlangsung. Jika persetujuan dapat dicapai termasuk jumlah hantaran (ssur) dan mas khawin dapat ditentukan maka tanda setuju (penando) selalunya sebentuk cincin emas pertunangan akan disarungkan oleh wakil pihak lelaki ke jari manis gadis yang dipinang. Dengan ini bermakna sigadis telah terikat dan harus berusaha untuk elakkan segala fitnah dengan menjaga pergaulan dan budi pekerti sepanjang tempoh pertunangan. Belanja tunang dan adat langkah bendol (kelangkahan) akan ditentukan oleh para wakil atas persetujuan bersama. Adat kelangkahan akan berkuatkuasa jika adik perempuan mendahului abang atau kakak untuk berkahwin, perkara ini akan ditentukan oleh para wakil kedua belah pihak. Seperkara penting dalam majlis meminang adalah menentukan tempoh dan tarikh menghantar hantaran (ssur) oleh pihak lelaki.

5.3 Majlis Hantaran (Mengossur) : Pada majlis ini semua permintaan pihak perempuan akan diserahkan selengkap-lengkapnya dengan penuh adat istiadat serta harmoni. Kedua belah pihak akan membuat penyataan dengan merujuk jumlah permintaan hantaran (ssur) yang dipersetujui sebelum ini. Pada kebiasaannya semua hantaran diletakkan di dalam dulang dengan dihiasi kraftangan yang halus. Selalunya pihak perempuan akan membalas dulang hantaran pihak lelaki sebagai tanda kasih dan sukacita sempena majlis hantaran. Bilangan dulang hantaran diharuskan dalam bilangan ganjil dan tidak ditentukan jumlahnya. Manakala bilangan dulang balasan pihak perempuan selalunya melebihi bilangan dulang hantaran pihak lelaki. Pada majlis ini, tarikh perkahwinan dan aturcara majlis nikah akan ditentukan oleh wakil kedua belah pihak.

5.4 Majlis Malam Berinai (Gabbpie Tullau) : Majlis ini akan berlangsung pada sebelah malam sehari sebelum majlis nikah diadakan keesokan harinya. Pengantin lelaki akan menghantar kepada pengantin perempuan satu set kelengkapan untuk majlis berinai. Kedua pengantin akan mengadakan majlis ini berasingan di rumah masing-masing dengan dihadiri oleh kaum keluarga terdekat sahaja. Pengisian acara pada malam berinai akan diserikan dengan acara bertimbang bergunting atau cukur jambul, membaca berzanji dan marhaban serta berkhatam Al-quran. Mengikut pantang larang suku kaum Orang Sungai Buludupi, kedua pengantin digalakkan berjaga (tullau) sepanjang malam untuk mengelakkan mendapat mimpi yang tidak baik.

5.5 Majlis Nikah Kahwin (Nagnikah) : Upacara ini disempurnakan di rumah keluarga pengantin perempuan berdasarkan hukum-hakam agama Islam. Kadang-kadang adat membuka pintu (okab lawang) akan diminta oleh keluarga pengantin perempuan selepas rukun nikah disempurnakan. Selepas acara tersebut doa kesyukuran dibacakan. Kemudian selepas bersalaman dengan para tetamu, pengantin lelaki akan dibawa masuk ke bilik pengantin perempuan untuk acara membatalkan air sembahyang. Sewaktu masuk ke bilik pengantin perempuan, adat membuka pagar (pengawang ambat-ambat) akan berlaku dan bilangan pagar bergantung kepada kebijaksanaan pegiring pengantin. Dalam bilik pengantin acara tepung tawar (penemmil) ke atas kedua pengantin disempurnakan. Acara seterusnya ialah adat suap-menyuap (menemo), yang mana kedua pengantin akan disuapkan oleh seorang wakil keluarga dengan nasi putih dan telur ayam. Kemudian itu kedua pengantin akan dibaringkan serentak sebanyak tiga kali berturut-turut di atas katil peraduan (tarugan). Setelah selesai, kedua pengantin akan dibawa keluar dari bilik pengantin untuk majlis bersanding.

5.6 Majlis Bersanding (Nagsanding) : Kedua pengantin akan disandingkan di atas sebuah singasana raja sehari. Tujuan majlis ini dilaksanakan adalah untuk mempertontonkan kepada orang ramai tentang mereka yang terlibat dalam majlis perkahwinan pada hari tersebut. Ketika ini acara merenjis disempurnakan oleh keluarga kedua belah pihak dan beberapa orang kenamaan keluarga terdekat sebagai tanda restu perkahwinan tersebut. Majlis seumpama ini selalunya diulangi lagi pada malam ketiga (ratub tello’) dan pada malam ketujuh (ratubturu’). Sebelum genap tujuh hari, kedua pengantin tidak dibenarkan untuk memijak tanah sebagai pantang larang. Semasa tempoh berpantang, kelas nasihat kepada kedua pengantin dikendalikan oleh tok guru dan mak andam yang berpengalaman. Majlis makan beradab juga diadakan dalam tempoh berpantang.

5.7 Majlis Sambut Menantu (Tingkuang) : Selepas genap 7 hari (ratob turu’) pihak pengantin lelaki akan membawa balik isterinya untuk diperkenalkan secara rasmi kepada keluarga pihak suami. Majlis tepung tawar (penemmil) akan disempurnakan sebelum memasuki rumah atau kawasan rumah dengan kedua pengantin akan melangkah dan memijakkan kedua belah kaki kedalam dulang tembaga secara bergilir, yang di dalamnya disediakan beberapa jenis ramuan tradisional (ramuan penemmil). Sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah, kedua pengantin akan ditaburi dengan beras kunyit (begkas bianing) sebagai tanda kesyukuran. Pengantin perempuan akan menerima hadiah istimewa (pengennik) daripada keluarga pengantin lelaki sebagai tanda kasih sayang dan penerimaan sebagai keluarga baru. Doa kesyukuran dibacakan oleh tuan imam pada akhir majlis. Selepas majlis ini kedua pengantin digalakkan untuk berkunjung ke rumah kaum keluarga yang lain untuk berkenal-kenalan. Pada kebiasaannya, kunjungan pertama mereka akan ditemani oleh ibu bapa kedua belah pihak pengantin.


(Teks ini telah diolah berdasarkan berbincangan para penulis dengan Tuan Haji Tanalol Bin Hj Liwangsa dan Tuan Haji Liwangsa Bin Zainal)

6. TARIAN TRADISIONAL SUKU KAUM ORANG SUNGAI : TARIAN RUNSAI

(Tercatat dalam The Malaysia Book of Records - 2005)

Runsai adalah berasal dari perkataan Bahasa Makiang yang juga dikenali sebagai upacara Meh Basah-basah atau Meh Miau. Dipercayai tarian runsai telah wujud sejak awal tahun 1930-an lagi dan merupakan suatu upacara untuk tujuan perubatan tradisional. Upacara ini diamalkan oleh masyarakat suku kaum Orang Sungai yang mengamal kepercayaan aninisma. Pada tahun 1950-an upacara tarian runsai telah dijadikan wadah dalam mencari jodoh bermula dari upacara pinang-meminang sehinggalah menentukan hantaran yang disampaikan melalui bait-bait pantun semasa berbalas pantun dalam tarian runsai.

Tarian runsai merupakan tarian tradisional suku kaum Orang Sungai. Tarian ini tidak menggunakan sebarang jenis alat muzik kecuali menggunakan suara semasa berbalas pantun dan bunyi hentakkan kaki semasa melangkah dan berpusing dalam satu bulatan sambil berpimpinan tangan.

Disebabkan oleh kemajuan teknologi hiburan yang serba canggih dan mengasikkan adalah dikhuatiri tarian runsai akan lenyap ditelan zaman. Jesteru, tarian runsai seharusnya diterapkan kepada generasi muda suku kaum Orang Sungai agar mereka boleh meneruskan kesinambungannya sebagai lambang budaya berzaman nenek moyang mereka yang paling unik. Menyedari hakikat ini, pada tahun 2005 tarian runsai telah berjaya dicatat dalam The Malaysia Book of Records sebagai The Longest Non-stop Runsaiton Performance in Malaysia. Tarian ini dipersembahkan selama tempoh 37 jam tanpa henti dengan melibatkan lebih 500 orang penari secara berganti-ganti dengan memakai pakaian tradisional. Catatan ini telah dibuat dalam satu majlis rasmi bersempana Pesta Sungai Kinabatangan yang diadakan pada 22 September 2005 bertempat di Pentas Dataran Pekan Kota Kinabatangan.

Tarian runsai budaya kita,
Tinggalan berzaman untuk semua,
Kita pelihara tiada ruginya,
Agar subur di seantiro dunia.

7. PERALATAN MUZIK TRADISIONAL SUKU KAUM ORANG SUNGAI : GABBANG KAYU

Gabbang Kayu merupakan sejenis alat muzik tradisional suku kaum Orang Sungai di Daerah Kinabatangan. Berdasarkan sejarah awal mengenai muzik ini, Gabbang Kayu adalah salah satu alat muzik yang kedua terpenting selepas alat muzik kulintangan tembaga yang dibawa masuk oleh masyarakat Suluk sejak awal 1920-an lagi.

Alat muzik Gabbang Kayu diperbuat daripada beberapa jenis kayu yang dipanggil Poggil, Litak dan Tilluh dalam bahasa tempatan. Setiap batang kayu akan dibentuk menjadi kepingan-kepingan kayu supaya menghasilkan nada muzik yang tertentu berdasarkan saiznya. Untuk mendapatkan nada bunyi yang sistematik, setiap kepingan kayu tersebut disusun mengikut prinsip kod muzik terkini. Dengan susunan tersebut seseorang ahli muzik akan dapat memainkan pelbagai rentak lagu yang harmoni serta sedap didengar.

Pada masa dahulu, muzik Gabbang Kayu dimainkan sebagai hiburan untuk melepaskan penat lelah setelah selesai melakukan kerja-kerja gotong-royong di ladang sama ada selepas menanam padi ataupun selepas menuai hasil tanaman. Ketika ini muzik Gabbang Kayu dimainkan dalam majlis-majlis keramaian seperti majlis kahwin, majlis sambutan perayaan atau majlis persembahan.

Program perantisan seni muzik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Cawangan Sabah (JKKNS) dengan kerjasama Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) telah memilih muzik Gabbang Kayu sebagai model ke arah pelestarian seni warisan budaya Orang Sungai di Negeri Sabah. Untuk tujuan tersebut sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Kumpulan Kebudayaan Milian Magalai telah ditubuhkan pada 04 Ogos 2006 dengan keahlian seramai 15 orang sahaja yang diterajui oleh Encik Juhari Haji Janan (penasihat), Encik Hamra @ Amrah Haji Liwangsa (ketua kumpulan) dan Encikgu Arif Amrin (ketua jurulatih). Mereka yang menyertai kumpulan ini adalah terdiri daripada belia dan beliawanis Daerah Kinabatangan. Pada November 2007 kumpulan ini telah mewakili Negeri Sabah ke festival kesenian rakyat Malaysia di Kuala Lumpur, Selangor Darul Ehsan.

8. MENANGKAP IKAN CARA TRADISIONAL : BALIUNGAN

Baliungan adalah satu-satunya aktiviti menangkap ikan secara tradisional yang berkonsepkan falsafah gotong-royong yang terdapat di Daerah Kinabatangan khususnya di Kampung Bilit. Kaedah ini menggunakan beberapa jenis alat menangkap ikan yang dikenali sebagai rambat (jala) dan perahu yang dipanggil damas yang lengkap dengan pengayuhnya. Bilangan peserta dalam aktiviti ini sekurang-kurangnya tiga buah perahu. Setiap perahu harus mempunyai seorang tukang rambat dan seorang pengemudi perahu. Mereka perlu cekap dan tangkas bagi membolehkan mendapat hasil yang lumayan.

Peserta akan menghalau kumpulan ikan menggunakan perahu damas yang disusun dalam barisan berbentuk V. Perahu akan dikayuh kehadapan dan menyebabkan ikan-ikan berkumpul dipertengahan barisan V. Setelah dikesan bahawa ikan-ikan telah banyak terkepung dalam susunan perahu tadi maka salah seorang peserta yang berpengalaman akan memberi isyarat dengan melaungkan bilok-bilok untuk mengarahkan para peserta membelok ke arah tengah barisan untuk menebar rambat. Keadaan ini amat menyeronokkan terutama kepada mereka yang mendapat hasil tangkapan yang lumayan.

Untuk memudahkan operasi baliungan terdapat beberapa bahasa isyarat digunakan dan perlu difahami oleh setiap peserta seperti liung-liung, angkat, bilok, sampok, tahan, gostan, mogsak, menalabid rambot dan barambangan. Kesemua bahasa isyarat ini akan membantu operasi baliungan berjalan dengan lancar disamping membantu mendapatkan hasil yang lumayan.

Danau Bilit merupakan sebuah tasek ladam dan tempat aktiviti baliungan sering kali dijalankan. Danau Bilit merupakan penyumbang utama hasil sungai seperti udang galah, ikan tapah, ikan patin, ikan baung dan pelbagai jenis ikan lagi.

Telah menjadi amalan masyarakat di Kampung Bilit kepada mereka yang tidak berkesempatan menyertai aktiviti baliungan akan diberi sebahagian hasil tangkapan yang ditinggalkan di lanting (jetty) mereka masing-masing.

(Sebahagian daripada teks ini telah disunting daripada buletin partners for wetlands - WWF Malaysia)

9. MENUAI HASIL SARANG BURUNG CARA TADISIONAL : GUA GOMANTONG

Gomantong adalah salah sebuah bukit batu kapor yang terbesar di Negeri Sabah. Bukit ini dikenali juga dengan nama Gua Gomantong kerana di dalamnya terdapat 27 buah gua-gua kecil batu kapor yang didiami oleh jutaan ekor burung layang-layang dan menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan (Laurentius, 2001). Gua Gomantong terletak dalam kawasan Hutan Simpan Gomantong Kelas IV dalam Daerah Kinabatangan berkeluasan 3,297 hektar. Disebabkan oleh kepentingan ekonomi maka gua ini adalah salah sebuah gua yang dilindungi di bawah Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah.

Tiada bukti artifak ataupun manuskrif yang boleh dikaitkan sebagai bukti sejarah penemuan Gua Gomantong. Walau bagaimanapun para sejarahwan tempatan menyatakan bahawa penemuan Gua Gomantong bermula 1782 lagi (Danny, 2000). Manakala dalam laporan Encik C. Bamfyles bertarikh Ogos 1882 menyatakan bahawa Pengiran Sandukung, datuk kepada Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey, adalah orang yang pertama menjalankan aktiviti memungut sarang burung di Gua Gomantong. Selanjutnya surat Keith H.G. kepada gobenor Jeselton bertarikh 31 Mac 1949, menjelaskan bahawa sebelum The North Borneo British Chartered Company mengambilalih pentadbiran di Sandakan, Gua Gomantong merupakan hak mutlak (exclusive property) dan di bawah kawalan Pengiran Digadong Samah Al-Haj yang mewarisi gua tersebut daripada ayahnya Pengiran Ebey Bin Pengiran Sandukung yang juga mewarisi daripada ayahnya bernama Pengiran Basag. Selanjutnya Keith H.G. menyatakan bahawa Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey merupakan pemilik terakhir yang telah terkorban semasa menentang pentadbiran kolonial British.

Peralatan penuaian yang digunakan di Gua Gomantong adalah yang paling unik dan disusun mengikut sistem yang canggih. Semua peralatan ini telah digunakan sejak beberapa ratus tahun yang lalu dan masih terpakai sehingga zaman cyber ini. Peralatan yang dimaksudkan adalah seperti Gegolog, Piattau, Tallok Piattau, Sesungkit, Ambomg, Sarapong, Dandan, Kettir dan Jampong. Semua peralatan yang digunakan adalah diperbuat daripada rotan, kayu jenis keras, bambu / buloh dan dawai. Selain digunakan di Gua Gomantong, peralatan ini juga digunakan di Gua Madai dan Gua Batu Timbang.

10. KOLEKSI MENU MASAKAN TRADISIONAL SUKU KAUM ORANG SUNGAI

10.1 IKAN BAUNG / SOPONG PANGGANG

Bahan-bahannya
1kg Ikan baung / sopong
100 ml Air asam jawa
1 sudu besar Serbuk kunyit
1 sudu besar Serbuk lada
6 helai Daun pisang
4 biji Lada kering (ditumbuk)

Bahan untuk sambal
3 ulas Bawang merah (dihiris)
1 sudu besar Belacan
4 sudu besar Air asam jawa
6 biji Cili api
6 biji Cili merah
Gula secukup rasa

Cara membuat sambal
Bawang merah, belacan, cili api dan cili merah ditumbuk halus kemudian campurkan air asam jawa, air garam dan gula. Hidang bersama dengan ikan yang sudah dimasak.

Cara memanggang ikan
Ikan dicuci dan dibersihkan, perapkan ikan dengan air asam jawa, serbuk kunyit, serbuk lada dan lada kering. Bungkus dalam daun pisang. Panggang diatas arang kayu sehingga masak. Kemudian pindahkan ikan tadi dan letakkan ke dalam piring. Sediakan untuk dihidang bersama sambal.

10.2 IKAN BAUNG / SOPONG MASAK ASAM AMPAP

Bahan-bahannya
500 gm Ikan Baung / Sopong
10 gm Halia (ditumbuk)
10 gm Lengkuas (ditumbuk)
10 gm Isi kunyit (ditumbuk)
1 batang Serai (ditumbuk)
1 biji Bawang besar (ditumbuk)
100 gm Ubi kentang
4 cawan air Air garam dan air asam jawa
Lada merah dan lada hijau untuk hiasan

Cara membuatnya
Campurkan bahan-bahan yang ditumbuk di atas dengan ikan dan ubi kentang kemudian masukkan ke dalam kuali. Masukan air garam dan air asam jawa. Biarkan mendidih sehingga masak. Kemudian masukan lada hijau dan lada merah. Sediakan untuk dihidang.


(Koleksi telah disunting daripada Buku Cenderamata Pesta Sungai Kinabatangan 2006 yang dihasilkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Memasak Tradisional Suku Kaum Sungai sempena Pesta Sungai Kinabatangan 2005)

11. DAFTAR BAHASA ETNIK

Melayu / Makiang / Buludupi

Satu / Iso / Ssa / Dua / Dwo / Duwo
Tiga / Talo / Tello / Empat / Apat / Ppat
Lima / Limo / Limo / Enam / Anom / Nnom
Tujuh / Toro / Turu' / Lapan / Walo / Wolu
Sembilan / Siwoi / Siwai / Sepuluh / Apolo / Pulu’
Seratus / Aratus / Meratu / Seribu / Aribo / Meribu

Rambut / Tabok / Bpok / Muka / Poros / A-ngas
Mata / Mato / Mato / Hidung / Tadong / Irung
Dada / Kangkab / Sodtu’ / Perut / Tan / Torai
Pusat / Posod / Pusod / Tangan / Longon / Pie'
Lutut / Latod / Alob / Telinga / Talinga / Talingo
Leher / Ilyow / Lig / Belakang / Likud /Tukud
Bahu / Kayab / Sadtong / Pinggang / Tawek / Awak
Punggung / Busol / Tebping / Paha / Poh / Bung-ngol